服务承诺
资金托管
原创保证
实力保障
24小时客服
使命必达
51Due提供Essay,Paper,Report,Assignment等学科作业的代写与辅导,同时涵盖Personal Statement,转学申请等留学文书代写。
51Due将让你达成学业目标
51Due将让你达成学业目标
51Due将让你达成学业目标
51Due将让你达成学业目标私人订制你的未来职场 世界名企,高端行业岗位等 在新的起点上实现更高水平的发展
积累工作经验
多元化文化交流
专业实操技能
建立人际资源圈Anti_Persekutuan_1948
2013-11-13 来源: 类别: 更多范文
Wednesday, August 12, 2009
ISU HAK KERAKYATAN: RESPONS ANTARA KAUM (1946-1948)
Selepas Perang Dunia Kedua, isu hak kerakyatan bukan Melayu menjadi satu isu yang kontraversi dan sensitif di kalangan berbagai kaum, terutama orang Melayu[1]. Apabila kerajaan Inggeris membuat pengumuman untuk menubuhkan Malayan Union pada bulan Oktober 1945, yang menggabungkan negeri-negeri Melayu di Semenanjung, mewujudkan satu bentuk pentadbiran yang berpusat dan melonggarkan syarat-syarat kerakyatan bukan Melayu, maka orang Melayu telah bangkit menentang gagasan tersebut[2]. Di bawah Malayan Union, Orang Melayu akan menjadi warganegara secara automatik, manakala orang bukan Melayu yang ingin menjadi warganegara perlu memenuhi kelayakan-kelayakan seperti dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura. Mereka juga boleh diberikan hak kewarganegaraan apabila tinggal 10 daripada 15 tahun di negeri-negeri Melayu atau lima tahun di Singapura [3]. Kelonggaran syarat kerakyatan kepada kaum Cina dan India adalah sebagai inisiatif kepada mereka untuk memutuskan hubungan mereka dengan negara leluhor mereka dan menganggap Tanah Melayu sebagai tanah air mereka sendiri[4]. James Allen pula berpendapat, Malayan Union merupakan satu usaha Inggeris untuk menghukum orang Melayu dan memberi “reward” kepada orang Cina. Perkara ini ada kaitannya dengan sokongan orang Melayu terhadap pemerintahan Jepun selepas British mengaku kalah dan ketidak aktifan orang Melayu dalam membantu Inggeris menentang Jepun. Sebaliknya British terasa terhutang budi dengan orang Cina kerana banyak membantu mereka mempertahankan Malaya dari serangan tentera Jepun dan berkerja sama dengan tentera British menentang Jepun melalui MPAJA semasa Tanah Melayu dijajah oleh Jepun[5]. Penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union bukan sahaja Raja-raja Melayu diminta menyerahkan kedaulatan di negeri masing-masing kepada Baginda Raja Inggeris, tetapi juga dilihat oleh orang Melayu sebagai satu ancaman terhadap hak orang Melayu dan sebaliknya hanya berfaedah kepada orang bukan Melayu. Justeru itu, orang Melayu telah bangkit menentang Malayan Union[6]. Tunjuk perasaan orang Melayu yang pertama menentang Malayan Union ialah di Kelantan ketika MacMicheal tiba di Kota Baru pada penghujung Disember 1945. Kedatangan MacMicheal ke Kelantan telah disambut dengan demontrasi kira-kira 10,000 orang Melayu dengan melaungkan kata-kata “Malaya kepunyaan orang Melayu. Kami tidak mahu bangsa lain diberikan hak-hak dan keistimewaan yang dimiliki oleh orang Melayu”[7]. Kemuncak bantahan orang Melayu ialah apabila Mesyuarat Kongres Seluruh Melayu diadakan di Kuala Lumpur pada 1-4 Mac 1946 yang meluluskan beberapa ketetapan, antaranya menghantar telegram ke Menteri Jajahan Inggeris yang mengandungi isi bantahan orang Melayu terhadap Malayan Union dan mengesa kerajaan Inggeris berfikir panjang sebelum melaksanakan gagasan tersebut[8]. Sekiranya gagasan Malayan Union ini berjaya dilaksanakan, maka raja-raja Melayu akan kehilangan kedaulatan mereka, British akan dapat memerintah secara langsung di negara ini dan akan wujud hak kewargenegaraan yang sama untuk semua kaum. Kalau ini berlaku, kerajaan British tidak akan lagi mengiktiraf orang Melayu sebagai rakyat peribumi yang mempunyai hak yang lebih berbanding kaum lain. Orang Melayu juga akan kehilangan dominasi mereka dalam politik dan kehilangan identiti mereka dalam masa jangka panjang[9]. Di samping itu, sekiranya Malayan Union dapat dilaksanakan secara keseluruhannya, maka ia akan menjadikan Malaya sebagai “Malayan” nation-state, bukannya “Malay” nation-state[10].
Walaupun Malayan Union memberikan kelebihan kepada kaum bukan Melayu terutama dalam hak kerakyatan, namun kaum Cina pada mulanya tidak memperlihatkan sokongan mereka terhadap gagasan tersebut, tidak seperti yang dijangkakan oleh Inggeris. Akhbar-akhbar Cina tidak memberikan komen mereka terhadap Malayan Union sehinggalah pada 31 Januari 1946[11]. Kaum Cina lebih bimbang terhadap permasalahan ekonomi dan ganguan hak sivil mereka pada waktu tersebut. Majoriti kaum Cina melihat cadangan perlembagaan Malayan Union tidak membawa membawa apa makna, kecuali jika ia memberi kesan terhadap kehidupan peribadi mereka sendiri. Manakala di kalangan ahli politik yang mempunyai kesedaran untuk memperjuangkan nasib kaum Cina juga berbeza pendapat. Ahli Kuomintang dan orang Cina yang dilahirkan di negara China tidak menunjukkan minat mereka terhadap Kertas Putih cadangan Malayan Union. Kesetiaan politik mereka hanyalah kepada negara asal mereka[12]. Bagi mereka, penerimaan terhadap kewarganegaraan yang dicadangkan melalui Malayan Union hanya akan menimbulkan masalah terhadap status kewargenegaraan mereka sebagai warganegaraan China. Menurut akhbar Chung Hwa sekiranya kaum Cina inginkan hak kewargenegaraan Malaya, mereka harus secara terbuka mengisytihar atau secara tidak langsung menyatakan bahawa mereka sudah terpisah dari negara asal mereka. Keadaan ini agak menyukarkan orang-orang Cina untuk menerima kewarganegaraan Malayan Union sedangkan mereka ingin terus mengekalkan kewargenegaraan China. Manakala akhbar Cina yang lain seperti Modern Daily telah menentang peranan sultan-sultan Melayu sebagai pemimpin tradisional dan ketua agama bagi Malayan Union. Akhbar Sin Min Chu dalam laporannya bertarikh 24 Januari 1946 secara tegas mengkritik Malayan Union yang disifatkannya masih jauh dari memperkasa status politik rakyat Malaya dan hanya “consolidated Britain’s hold on Malaya and Singapore”[13]. Manakala golongan radikal Cina yang diwakili oleh PKM telah menolak Malayan Union kerana ia tidak meyediakan pilihan raya yang menyebabkan kuasa Gabenor dianggap berlebihan dan pemisahan Singapura dianggap tidak logik dari sudut politik dan ekonomi. Golongan radikal Cina ini memperjuangkan penubuhan sebuah negara sosialis. Manakala golongan Cina yang moderat tidak begitu menentang Malayan Union kerana tertarik dengan peluang untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui gagasan tersebut[14].
Manakala kaum India juga tidak banyak memberikan respon mereka terhadap gagasan Malayan Union. Editor akhbar kaum India tidak menyentuh cadangan Malayan Union sehinggalah pada 1 Februari 1946. Ini kerana penumpuan akhbar Tamil pada waktu tersebut adalah terhadap isu kekurangan makanan, peningkatan harga barangan dan industri. Bagaimanapun isu Malayan Union mula menjadi tumpuan komuniti India apabila akhbar Jananayagam (akhbar golongan sayap kiri kaum India) pada 23 Mac 1946 telah mengkritik Malayan Union dengan menyifatkannya sebagai satu metode untuk memperteguhkan pentadbiran British dan menjarah negara ini. Ia adalah satu rancangan untuk memecah belahkan Malaya mengikut kehendak kaum imperialis. Akhbar India lain yang turut mengecam Malayan Union ialah The Tamil Press, Malaya Nanban, Tamil Murasu dan lain-lain. Sikap komuniti India yang berpecah dalam isu Malayan Union berlaku disebabkan penumpuan politik kaum India sehingga pertengahan tahun 1946 adalah terhadap perkembangan politik yang berlaku di India. Bagaimanapun mulai pertengahan tahun 1946, majoriti kaum India telah mengalu-alukan rancangan untuk memberikan kewarganegaraan Malaya yang sama kepada semua kaum dan pemusatan kerajaan. Apabila MIC ditubuhkan pada bulan Ogos 1946, barulah kaum India melalui MIC membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan perlembagaan dan kesan Malayan Union terhadap kaum India di negara ini[15]. MIC seperti UMNO juga telah menentang Malayan Union kerana ia dilaksanakan dengan paksaan tanpa persetujuan rakyat asal negara ini. Pandangan umum di kalangan komuniti India ketika itu ialah Malaya adalah negara Melayu dan hakikat ini mestilah dikekalkan. Kaum India juga tidak menerima sebarang pembaharuan perlembagaan yang tidak diterima oleh orang Melayu sendiri. Justeru itu, John Thivy (Presiden MIC) dalam ucapannya pada 7 Jun 1947 ketika Mesyuarat Tahunan MIC di Kuala Lumpur telah menyakinkan orang Melayu bahawa kaum India; “would never appeal over the heads of the Malays to the British for any particular right or privilege in the task of establishing a constitution for Malaya; if we do so we would be sowing the seeds of communal dissensions”[16].
Pada bulan Disember 1946, satu perjanjian telah dicapai untuk membubarkan Malayan Union dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu yang diwujudkan pada 1 Februari 1948[17]. Menurut Comber (1985), Persekutuan Tanah Melayu merupakan asas kepada Perlembagaan Malaysia hari ini dan penubuhannya merupakan kejayaan kepada orang Melayu. Ini kerana Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu menyatakan bahawa Persuruhjaya Tinggi Inggeris akan bertanggungjawab menjaga hak istimewa orang-orang Melayu dan kepentingan sah kaum bukan Melayu[18]. Perjanjian Persekutuan merupakan tolak ansur orang-orang Melayu dan Cina. Sungguhpun orang-orang Cina tidak dimasukkan dalam Jawatankuasa Kerja (Working Commitee) tetapi pandangan mereka telah diperolehi sebelum Perjanjian itu menjadi undang-undang. Menurut Comber lagi, orang-orang Melayu bersetuju memberi kerakyatan Persekutuan kepada mereka yang mencurahkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada negara ini mengikut syarat yang telah disebutkan dalam Perjanjian tersebut. Orang Melayu kebanyakannya telah berpuas hati dengan perlembagaan baru ini tetapi tidak berapa mendapat sambutan dari kaum bukan Melayu disebabkan ketidakpuasan hati mereka mengenai undang-undang kerakyatan Persekutuan[19] yang ketat[20]. Peruntukan mengenai syarat-syarat kerakyatan di bawah Perjanjian Persekutuan telah menyebabkan orang bukan Melayu sukar untuk memperolehi hak kerakyatan berbanding kaum Melayu. Menurut Oong (2000), Perjanjian Persekutuan merupakan satu polisi kerajaan British yang pertama kali membuat perbezaan antara orang Melayu dan bukan Melayu. Ia bukan sahaja memberi definisi siapakah orang Melayu[21] tetapi secara tidak langsung telah membahagikan orang Cina kepada tiga kelompok, iaitu Cina Negeri Selat (warganegara British), Cina yang dilahirkan di Malaya yang telah dibaratkan atau separuh-diasimilasi dan Cina asing (pendatang). Komuniti Cina Selat yang menjadi rakyat British di Penang dan Melaka diterima sebagai warganegara Persekutuan. Manakala Cina yang dilahirkan di Malaya, di mana ibu bapa mereka juga lahir di sini, mereka layak mendapat hak kerakyatan mengikut “kuat kuasa undang-undang”. Namun sebahagian besar dari kelompok Cina asing boleh mendapatkan hak kerakyatan berasaskan kepada permohonan, tetapi harus memenuhi syarat seperti mempunyai pengetahuan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang memadai. Akibatnya, sebahagian besar kaum Cina asing (pendatang) tetap menjadi pendatang di Malaya, manakala golongan pendatang dari Indonesia yang telah diiktiraf oleh Sultan Melayu sebagai rakyat Malaya bersama dengan orang Melayu telah diberi kerakyatan berdasarkan “kuat kuasa undang-undang”[22]. Bagaimanpun, di bawah Perjanjian Persekutuan, berdasarkan Annual Report bagi tahun 1950, seramai 3,120,000 orang telah menjadi warganegara melalui kuat kuasa undang-undang, di mana 2,500,000 orang adalah orang Melayu, 350,000 Cina dan 225,000 adalah orang India, Pakistan dan Ceylon. Selepas dicampur dengan bilangan mereka yang memperolehi kerakyatan berdasarkan permohonan, jumlah warganegara Persekutuan dianggarkan sebanyak 3,275,000, di mana 2,500,00 adalah orang Melayu, 500,000 Cina dan 230,000 adalah orang India, Pakistan dan Cyelon[23].
Reaksi dan penentangan kaum bukan Melayu terhadap Perjanjian Persekutuan menurut Khong (1984) dapat dibahagikan kepada tiga, iaitu penentangan golongan radikal (PKM), konservatif Cina (Dewan Perniagaan Cina) dan minoriti (seperti MIC, Malayan Democratic Union (MDU) dan lain-lain). Faktor penentangan PKM terhadap Perjanjian Persekutuan, antaranya disebabkan ketidakpuasan hati mereka mengenai syarat kewargenegaraan yang ketat di mana PKM berpendapat bahawa kaum bukan Melayu sepatutnya memperolehi hak kerakyatan dengan mudah dan mempunyai hak yang sama dengan kaum Melayu. Kerajaan British sepatutnya bertindak menyatukan kaum Melayu dengan kaum Cina. Sekiranya kaum Cina didiskriminasikan dan tidak mendapat kerakyatan, maka perpaduan kaum agak sukar untuk dibina[24]. Justeru itu, setelah Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan secara rasmi penubuhannya pada 1 Februari 1948, Parti Komunis Malaya (PKM) telah mengumumkan kempen penentangannya terhadap kerajaan secara guerila dan bersenjata bagi mendapatkan kuasa memerintah[25]. Sebelum mengisytiharkan penentangannya terhadap kerajaan British secara guerila, PKM dilihat sebagai tenaga pengerak yang menyatukan gerakan kiri terutama mempergunakan AMCJA-PUTERA bagi menentang cadangan Persekutuan[26]. Menurut maklumat dari Malayan Security Service, pada awal bulan Ogos 1946, PKM telah mengeluarkan satu arahan sulit bagi mewujudkan “gerakan bersama” di bawah satu “organisasi yang bersatu” untuk melakukan “emansipasi kaum di Malaya” dari pemerintahan British. Gerakan tersebut merupakan satu peluang bagi PKM untuk mewujudkan ketidakpuasan hati rakyat terhadap polisi penjajah. Justeru itu, PKM telah mengarahkan supaya ahli-ahlinya mewujudkan kerja sama dengan tiga kumpulan kaum di Malaya dan berbagai pertubuhan politik serta menyokong gerakan anti-Persekutuan yang akan menjejaskan pemerintahan British[27]. Bagi menjayakan rancangan Persekutuan, MacDonald dalam satu konfrensi sulit pada bulan Jun 1947, telah mengisytiharkan bahawa PKM adalah “musuh nombor satu” British. Untuk melemahkan pengaruh PKM, kerajaan British perlu menyelesaikan dengan segera rancangan Persekutuan. Manakala menurut Edward Gent, sekiranya rancangan Persekutuan dilewatkan pelaksanaannya, maka ia akan membolehkan PKM menjadi “dangerously strengthened and encouraged”[28]. Dengan sebab itu, British tidak perlu memenuhi tuntutan Dewan Perniagaan Cina Malaysia (ACCM) yang mendesak supaya diwujudkan sebuah Suruhanjaya Diraja bagi membuat semakan terhadap Perjanjian Persekutuan kerana ia bukan sahaja mewujudkan suasana ketidaktentuan, tetapi juga akan menjadi alat PKM[29]. Bagaimanapun, pelaksanaan segera rancangan Persekutuan tidak dapat membendung pengaruh PKM, bahkan gerakan mereka semakin agresif. Kekacauan dan keganasan yang pertama PKM dilakukan di Perak (Sungai Siput)[30] pada bulan Jun 1948 dan akhirnya merebak ke seluruh Tanah Melayu sehingga mendesak kerajaan Inggeris mengumumkan pemerintahan darurat di seluruh Persekutuan pada 12 Julai 1948. Pemberontakan PKM telah menyebabkan banyak kemusnahan harta benda dan nyawa sehingga membawa kerajaan Inggeris mengharamkan pergerakan PKM. PKM telah diharamkan pada 23 Julai 1948. Pengharaman PKM telah membawa pemimpin kaum Cina memikirkan alternatif lain bagi menyalurkan aspirasi perjuangan mereka yang membawa kepada penubuhan MCA pada 27 Februari 1949[31] .
Manakala reaksi golongan konservatif Cina seperti Dewan Perniagaan Cina menurut Khong (1984), tidaklah secara total menolak Perjanjian Persekutuan yang dilihat oleh mereka sebagai menjaga kepentingan orang Melayu sebagai penduduk peribumi Tanah Melayu. Namun, mereka telah menolak syarat kerakyatan yang memerlukan 15 tahun bermastautin di Tanah Melayu yang dianggap sebagai menghalang lebih ramai dari kalangan kaum Cina mendapat hak-hak mereka yang sah di negara ini[32]. Penentangan golongan konservatif Cina terhadap cadangan Persekutuan terserlah melalui memorandum yang dihantar oleh Pan-Malayan Chinese Chambers of Commerce (ACCC) kepada Setiausaha Tanah Jajahan Inggeris yang diputuskan melalui konfrensi yang mereka adakan pada 23 Februari 1947. Memorandum tersebut bertajuk Memorandum On The Constitutional Proposal For Malaya yang dirangka oleh Tan Cheng Lock dan dihantar melalui telegram kepada Creech-Jones dan Attlee pada 28 Februari 1947. Memorandum tersebut telah menyuarakan penentangan Dewan Perniagaan Cina Malaysia terhadap cadangan Persekutuan yang disifatkan mereka sebagai “is undemocratic and retrograde in structure and conception, and thoroughly inconsistent with His Majesty’s Goverment’s pledge to facilitate and ensure the program of the people of Malaya towards unity and ultimate self-goverment...”[33]. Cadangan mewujudkan Persekutuan Tanah Melayu telah dikritik oleh Dewan Perniagaan Cina Malaysia sebagai meminggirkan orang Cina dan kaum bukan Melayu dianggap sebagai golongan yang tidak dikehendaki. Mereka seterusnya menuduh British melaksanakan polisi “pecah dan perintah” dan “Malaya untuk orang Melayu”. Ini kerana orang Melayu mendapat hak kerakyatan yang mudah, tetapi menafikan hak orang Cina dan bukan Melayu yang dilahirkan di Malaya, kecuali kedua ibu bapa mereka dilahirkan di negara ini dan tinggal di negara ini dalam jangka masa tidak kurang dari 15 tahun[34]. Bertitik tolak dari hakikat ini, Memorandum tersebut telah mencadangkan supaya pemerolehan hak kerakyatan secara automatik perlu dikaji semula dan syarat kerakyatan Persekutuan berdasarkan kuat kuasa hendaklah diberikan kepada (i) sesiapa sahaja yang dilahirkan dan menjadi pemastautin tetap di mana-mana negeri Persekutuan tanpa diskriminasi kaum, (ii) sebarang individu di mana bapa, ketika ia dilahirkan adalah rakyat Persekutuan (iii) sesiapa yang sudah menjadi residen biasa dalam mana-mana negeri Persekutuan 10 tahun dari 15 tahun[35]. Memorandum yang dihantar kepada Setiausaha Tanah Jajahan British tersebut turut mendesak supaya diwujudkan segera sebuah Suruhanjaya Diraja. Suruhanjaya tersebut perlu datang ke Malaya untuk mengkaji keseluruhan kandungan Perlembagaan Persekutuan dan membuat perbincangan dengan semua pihak di Malaya[36].
Manakala MIC (minoriti) turut menjadi salah sebuah organisasi yang awal menentang draf Perjanjian Persekutuan[37]. Pada tahun 1947, MIC melalui keahliannya dalam AMCJA telah membuat kempen untuk menentang cadangan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. MIC telah menyuarakan pandangan mereka bahawa Malaya adalah sebuah negara majmuk bukan hanya negara bagi orang Melayu semata-mata. Oleh kerana itu, hak kewargenegaraan yang sama rata perlu diberikan kepada semua kaum. MIC telah meluluskan satu resolusi pada bulan Mac 1948 untuk memulaukan Perlembagaan Persekutuan dan memecat mana-mana ahlinya yang menganggotai Majlis Perundangan. Bagaimanapun pemulauan tersebut telah mendapat tentangan dari beberapa cawangan penting MIC[38].
Walaupun gerakan anti-Persekutuan digerakkan oleh kaum bukan Melayu melalui PKM, AMCJA, Dewan Perniagaan Cina dan pelancaran hartal atau mogok ekonomi yang dianjurkan oleh gabungan AMCJA-PUTERA pada 20 Oktober 1947 bagi membantah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, namun ia tidak menghalang kerajaan British mengisytiharkan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Meskipun gerakan anti-Persekutuan telah gagal dan tuntutan bukan Melayu supaya British menyemak kembali undang-undang kerakyatan Persekutuan tidak dilayan oleh British, namun perjuangan kaum bukan Melayu untuk mendapat hak kerakyatan yang lebih memihak kepada mereka tetap diteruskan. Misalnya, Tan Cheng Lock telah menghabiskan 10 tahun dari masanya (iaitu semenjak dari tahun 1947 hingga 1957) menentang syarat kerakyatan yang terkandung dalam Perjanjian Persekutuan, dengan memperjuangkan syarat kerakyatan berdasarkan jus soli untuk orang Cina. Perjuangan tersebut menampakkan kejayaannya pada tahun 1951[39] dan 1957[40]. Kejayaan tersebut mula tercapai melalui peranan aktif yang dimainkan oleh Tan Cheng Lock dan pemimpin elite Cina yang lain melalui Jawatankuasa Hubungan Kaum (CLC) dan penubuhan MCA pada tahun 1949. Tan Cheng Lock yang menganggotai Jawatankuasa Hubungan Kaum bersama dengan lima wakil kaum Cina yang lain dan masing-masing satu wakil dari kaum India, Eurasian, Ceylon dan Eropah[41] telah menggunakan medium tersebut untuk memperjuangkan hak kerakyatan bukan Melayu. Manakala British pula telah menggunakan penubuhan CLC sebagai satu cara untuk menuteralkan penentangan orang Melayu terhadap tuntutan bukan Melayu mengenai hak kerakyatan Malaya. Mac Donald telah menggunakan faktor kebimbangan orang Melayu terhadap PKM yang mungkin merampas kuasa, kecuali kerajaan British mengambil tindakan bagi menyelesaikan isu isu kerakyatan bagi mengurangkan sokongan orang Cina terhadap PKM yang menjanjikan hak politik dan kerakyatan yang sama untuk semua kaum jika mereka mendapat kuasa. Justeru itu, Mac Donald menegaskan bahawa kerajaan British terpaksa menggunakan janji yang sama kepada kaum bukan Melayu bagi menarik sokongan mereka. Alasan tersebut telah menyebabkan pemimpin UMNO menyutujui tuntutan MCA bagi meliberalkan peruntukan-peruntukan mengenai hak kerakyatan[42].
Nota Hujung
[1] Khong Kim Hoon, Merdeka! British Rule and The Struggle for Independence in Malaya 1945-1957, Petaling Jaya: Strategic Information Research Development, 1984, hlm. 250.
[2] Ibid., hlm. 108.
[3] Victor Purcell, The Chinese in Malaya, hal. 284.
[4] Khong Kim Hoong, Merdeka! British Rule and The Struggle for Independence in Malaya 1945-1957, hlm.109.
[5] James Allen, The Malayan Union, New Haven: Yale University: South-East Asia Studie Monograph Series, 1967, hlm. 17.
[6] Umpamanya kunjungan Sir Harold MacMicheal ke negeri-negeri Melayu untuk mendapatkan tandatangan sultan-sultan Melayu agar menerima gagasan Malayan Union telah disambut dengan tentang kuat orang-orang Melayu. Di Kelantan kedatangan MacMicheal telah menyebabkan kira-kira 10,000 orang Melayu berarak di hadapan istana Sultan bagi menunjukkan penentangan mereka terhadap Malayan Union (Siu 1967, 80). Menurut Anwar Abdullah, pelaksanaan Malayan Union telah menyebabkan hampir-hampir mencetuskan pemberontakan bersenjata kalau tidak disebabkan kesabaran dan kebijaksanaan Dato’ Onn. Dato’ Onn pernah didatangi oleh beberapa orang perjuang Melayu yang telah melahirkan kepadanya hasrat mereka hendak membunuh MacMicheal, tetapi Dato’ Onn menyejukan hati mereka dan menerangkan kepada mereka bahawa perjuangan orang Melayu pada masa itu adalah perjuangan secara perlembagaan dan tindakan ganas akan hanya merugikan orang Melayu sendiri (Abdullah A. , 2004, p. 141). Malayan Union juga telah ditentang PKMM dengan mengadakan rapat umum dan mogok yang dilancarkan seluruh Malaya. Bantahan terhadap Malayan Union telah membawa tertubuhnya satu badan yang diberi nama PUTERA-AMCJA. PUTERA adalah gabungan pertubuhan politik dan bukan politik yang menentang Malayan Union. Manakala AMCJA terdiri daripada badan bukan Melayu yang dipengerusikan oleh Tan Cheng Lock. Hasil dari perjumpaan yang diadakan di Kuala Lumpur, PUTERA-AMCJA telah membuat deraf Perlembagaan yang dikenali sebagai People’s Constitution atau Perlembagaan Rakyat (Salleh, 2004, p. 72).
[7] Utusan Melayu, 22 Disember 1945.
[8] Untuk melihat intipati ketetapan yang diputuskan oleh Kongres yang dikirim kepada Perdana Menteri British, lihat, Ibrahim Mahmood, Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu, hlm. 89-91..
[9] Khong Kim Hoong, Merdeka! British Rule and The Struggle for Independence in Malaya 1945-1967, hlm. 123.
[10] Cheah Boon Kheng, Malaysia: The Making of a Nation, hlm. 2.
[11] Menurut Victor Purcell, akhbar-akhbar Cina hanya menunjukkan minat yang kecil terhadap isu Malayan Union. Kritikan awal akhbar Cina terhadap Malayan Union dibuat oleh akhbar komunis, iaitu The New Democracy (Sin Min Chu) pada 12 Oktober 1945. Akhbar ini telah mengkritik pemisahan Singapura dari Malaya lanjutan dari dasar “pecah” dan “perintah” Inggeris. Akhbar ini juga pada 3 Mei 1946 menyebutkan tidak ada gunanya dibuat perdebatan mengenai hak kewarganegaraan dan pilihanraya sekiranya masalah yang asas tidak diselesaikan terlebih dahulu. Apa yang penting ialah gangguan terhadap hak-hak sivil bukannya kesaksamaan kerakyatan (Lihat Victor Purcell, The Chinese in Malaya, hal. 286-287).
[12] Ibid. hal. 286.
[13] Oong Hak Ching, Chinese Politics in Malaya 1942-55: The Dynamics of British Policy, hlm. 97-98.
[14] Rejeswary Ampavanar, The Indian Minority and Political Change in Malaya 1947-1957, hlm. 80.
[15]Ibid., hlm. 79-80.
[16] Ibid., hlm. 83.
[17] Cheah Boon Kheng, “Perpecahan dan Perpaduan Dalam Gerakan Kemerdekaan selepas Perang Dunia Kedua”, dlm. S. Husin Ali (ed), Kaum, Kelas dan Pembangunan, Kuala Lumpur: Persatuan Sains Sosial Malaysia, 1984, hlm. 85-87.
[18] Menurut Perjanjian Persekutuan Tanh Melayu 1948, Persuruhjaya Tinggi diberi “satu tugas istimewa” untuk melindungi hak negeri-negeri Melayu atau sebarang petempatan dan hak-hak, kuasa dan kedaulatan Sultan serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain (lihat The Federation of Malay Agreement, 1948, Goverment Press, Kuala Lumpur, hal.10).
[19] Leon Comber, 13 May 1969: a History Survey of Sino-Malay Relations, Petaling Jaya: Henemann Educational Books (Asia) Ltd., hlm. 43-44.
[20] Mengikut Perjanjian Persekutuan 1948, hak kewarganegaraan diberikan kepada ‘mana-mana rakyat...Duli Yang Maha Mulia Raja mana-mana negeri’ yang ditakrifkan sebagai (i) tergolong kepada pemastautin kaum asli dalam negeri itu, atau (ii) ia seorang Melayu yang lahir dalam negeri itu atau (iii) ia seorang Melayu yang lahir di luar negeri Melayu yang bapanya menjadi rakyat raja itu di bawah mana-mana undang-undang. Selain dari dari rakyat raja, kewargenegaraan Persekutuan juga diberikan kepada (i) mana-mana rakyat British yang lahir di mana-mana satu Negeri Selat dan bermastautin secara tetap dalam Persekutuan; (ii) mana-mana rakyat British yang lahir dalam Persekutuan atau pun pada masa kelahirannya rakyat British itu adalah seorang permastautin tetap; (iii) mana-mana orang yang lahir dalam Persekutuan yang lazimnay bercakap Melayu dan menurut adat istiadat Melayu, (iv) mana-mana orang yang lahir dalam Persekutuan dan yang menjadi pemastautin tetap di Persekutuan dan (v) seorang yang bapanya adalah warganegara Persekutuan (Lihat, K.J. Ratnam, Communalism and the Political Process, hlm. 76, Visu Sinnadurai, “Undang-undang Kewarganegaraan Malaysia”, dlm. Tun Mohamed Suffian et al. (eds), Perlembagaan Malaysia Perkembangannya: 1957-1977, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.,1984, hlm. 83).
[21] Menurut Artikel 128, klausa (3) (b), Perjanjian Persekutuan mendefinisikan Melayu sebagai (i) kebiasaannya bertutur dalam bahasa Melayu, (ii) memeluk agama Islam, dan (iii) mengamalkan kebudayaan Melayu.
[22] Oong Hak Ching, Chinese Politics in Malaya 1942-55, hlm. 114.
[23] K.J. Ratnam, Communalism and the Political Process, hlm. 84.
[24] Khong Kim Hoong, Merdeka! British Rule and The Struggle for Independence in Malaya 1945-1967, hlm. 150-151.
[25] Beberapa orang penulis tentang gerakan komunis di Negara ini sependapat bahawa PKM telah mengambil keputusan untuk melancarkan perjuangan bersenjata terhadap Inggeris sebelum penjajah Inggeris mengisytiharkan Undang-undang Darurat pada pertengahan Jun 1948. Misalnya menurut Barber (1971, 28) antara pertengahan Mei hingga awal Jun 1948, Politburo PKM yang mengadakan mesyuarat sulit di hutan Pahang telah memutuskan untuk melancarkan perjuangan bersenjata terhadap Inggeris (Lamry, 2006, p. 97). Dalam usaha PKM mencapai matlamat perjuangannya, mereka telah melakukan kegiatan sabotaj dan tindakan ganas. Di antara bulan Oktober 1945 hingga bulan Disember 1947, sebanyak 191 kejadian culik dan pembunuhan dilakukan oleh PKM. Dalam masa enam bulan pertama 1948, sejumlah 107 penculikan dan pembunuhan telah dilakukan oleh PKM (Lihat, R.Thompson, Defeating Communist Insurgency, New York: F.A. Preager, 1966, hal. 26-27.
[26] Lihat, Albert Lau, The Malayan Union Controversy 1942-1948, hlm. 246.
[27] Ibid., hlm. 245.
[28] Ibid., hlm. 246.
[29] Ibid.
[30] Menurut Chin Peng di dalam Memoirnya, pembunuhan tiga peladang kulit putih di Sungai Siput dilakukan bukan dari arahan beliau tetapi dilakukan oleh sepasang suami isteri yang membalas dendam terhadap Inggeris. Peristiwa di Sungai Siput itu merupakan kesalahan serius PKM yang mengagalkan usaha PKM untuk mengundurkan kader-kader PKM secara sulit ke dalam hutan dan menyusun jaringan gerakan bawah tanahnya dengan baik. Peristiwa ini telah digunakan oleh Inggeris untuk menguatkuasakan perintah darurat pada 18 Jun 1948 dan pada 20 Jun 1948 dilakukan tangkapan beramai-ramai terhadap orang yang disyaki komunis dan PKM diharamkan (Chin Peng, My Side of History, Singapore: Media Masters, 2003 ).
[31] Mohammad Agus Yusoff, Malaysian Federalism: Conflict or Consensus, hlm. 56.
[32] Khong Kim Hoong, Merdeka! British Rule and The Struggle for Independence in Malaya 1945-1967, hlm. 153-154.
[33]Lihat, Memorandum On The Constitutional Proposals For Malaya by Pan-Malayan Chinese Chambers of Commerce, 1947, hlm. 5, Arkib Negara Malaysia.
[34] Ibid., hlm. 12.
[35] Ibid., hlm. 13.
[36] Ibid., hlm. 6.
[37] Khong Kim Hoong, Merdeka! British Rule and The Struggle for Independence in Malaya 1945-1967, hlm. 156
[38] Rejeswary Ampavanar, The Indian Minority and Political Change in Malaya 1947-1957, hlm. 91.
[39] Pada tahun 1951, kerajaan Inggeris telah membuat pindaan terhadap Perjanjian Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan syarat kerakyatan Persekutuan yang agak liberal dari sebelumnya (Perjanjian Persekutuan 1948) walaupun masih tidak memuaskan hati orang bukan Melayu. Dengan pindaan ini telah membolehkan hampir separuh dari orang Cina yang tinggal di Tanah Melayu memperolehi kerakyatan (Lihat, Oong Hak Ching, Chinese Politics in Malaya 1942-55: The Dynamics of British Policy, hlm. 157-158).
[40] Heng Pek Koon, Chinese Politics in Malaysia, hlm. 47.
[41] Lihat, Heng Pek Koon, Chinese Politics in Malaysia, hlm. 148.
[42] Ibid., hlm. 150.
Posted by ABDUL HALIM BIN RAMLI at 11:18 AM [pic]

